Ganjaran Pahala Solat Wanita – Rumah Vs Masjid Atau Surau

Soalan:

Assalamualaikum, jika seorang wanita melakukan solat di rumah adakah akan mendapat pahala seperti berjemaah di masjid atau surau? Bukankah wanita digalakkan untuk solat di rumah sahaja?

Jawapan:

Waalaikumussalam.

Bismillahirrahmanirrahim.

Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT Pencipta Sekalian Alam, salam sejahtera kepada baginda Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat, tabiin dan ulama yang tidak jemu menegakkan syiar Islam.

Sememangnya terdapat dalil yang menggalakkan wanita untuk beribadah di rumah masing-masing. Antara dalilnya ialah hadis riwayat Imam Ahmad bahawa Ummu Humaid Al-Sai’idi iaitu isteri kepada Abu Humaid datang bertemu Nabi SAW dan berkata:

“Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku suka solat bersamamu. Baginda menjawab: “Sungguh aku mengetahui bahawa engkau suka menunaikan solat bersamaku, akan tetapi solatmu di bilik tidurmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di bilikmu, dan solatmu di bilikmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di rumahmu, dan solatmu di rumahmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di masjid kaummu, dan solatmu di masjid kaummu lebih baik dibandingkan solatmu di masjidku” kemudian Ummu Humaid meminta didirikan masjid (tempat solat) di tempat paling tersorok dan paling gelap di bilik tidurnya. Maka, beliau solat di sana sehingga bertemu dengan Allah Azza Wa Jalla”.

(Hadis riwayat Imam Ahmad, No. 26550)

Ini menunjukkan bahawa tidak menjadi sebarang kesalahan bagi seorang wanita untuk bersolat di rumahnya sendiri. Antara sebab digalakkan seorang wanita untuk bersolat di rumah ialah bagi mengelakkan fitnah. Fitnah tersebut dapat timbul apabila seorang wanita keluar ke masjid atau masjid dengan memakai wangi-wangian, perhiasan yang melampau dan juga keluar bersendirian tanpa didampingi oleh suami atau mahram. Jika semua ini dapat dielakkan maka ia akan membolehkan si wanita untuk keluar berjemaah di masjid atau surau. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari kalangan wanita untuk pergi ke masjid, tetapi mereka boleh keluar dalam keadaan tidak memakai wangi-wangian”.

(Hadis Riwayat Abu Daud, No. 565)

Suami juga disunatkan untuk membenarkan isteri keluar berjemaah di masjid dan surau sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi:

“Sunat bagi suami mengizinkan isterinya untuk hadir berjemaah di masjid.”

(Mausuah Fiqhiyah Kuwaitiyah, jld. 8 m/s 232)

Persoalan berkenaan bagaimana dengan ganjaran pahala yang diperoleh oleh si wanita, jika dia melakukan ibadah solat secara berjemaah maka dia akan mendapat ganjaran pahala sebanyak 27 kali ganda sepertimana hadis riwayat Ibnu Umar, Nabi Muhammad SAW bersabda:

Maksudnya: “Solat berjemaah itu lebih baik (afdhal) daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda”.

(Hadis riwayat Bukhari, No. 645)

Jika si wanita melakukan solat secara berseorangan maka pahala yang bakal diperolehinya hanyalah satu kali ganda.

Kesimpulannya, penulis berpendapat bahawa boleh dilakukan dengan 2 cara mengikut situasi bagi membolehkan si wanita memperoleh gandaan pahala solat berjemaah.

  1. Jika tidak ada sebarang kewajipan yang perlu dilakukan seperti menjaga anak atau memasak buat suami jadi bolehlah si isteri mengikuti suami berjemaah di masjid atau surau. Bagi yang belum berkahwin mestilah mendapatkan kebenaran mahram dan ditemani mereka dan tidak dilupakan supaya menjaga batasan-batasan seperti perhiasan dan ikhtilat di masjid atau surau.
  2. Jika terdapat kewajipan yang perlu dilaksanakan maka dibolehkan bersolat di rumah. Suami atau mahram bolehlah melakukan solat-solat sunat seperti solat sunat Tahajjud dan solat sunat Hajat secara berjemaah dengan sang wanita. Dengan ini, mereka dapat memperolehi ganjaran yang dijanjikan buat orang yang bersolat secara berjemaah.

Wallahua’lam.

Rujukan

  • https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3059-al-kafi-1070-solat-berjemaah-selain-masjid-adakah-dapat-ganjaran-27-kali-ganda
  • https://muis.org.my/2017/07/hukum-wanita-solat-jemaah-di-masjid/
  • http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2835-al-kafi-936-tempat-solat-yang-terbaik-bagi-seorang-wanita-2

Disclaimer(Penafian):

Jika terdapat sebarang salah di dalam penulisan saya, sila hubungi saya dan saya akan cuba betulkan secepat mungkin. InshaAllah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *